MUTIARA KATA HARI INI

Wednesday, December 29, 2010

Loceng Dah Berbunyi

wongweng
terkayan-kayan
semuanya dengan tujuan
tak bersempadan

mereka-reka.

kringggggg

terdengar pula

jom pergi sekolah.

Baca selanjutnya Kisahku...

Tuesday, December 28, 2010

Kalah Menang Harus Kesatria



Kalah menang harus diterima dengan jiwa kesatria. Ini adalah sebuah pertandingan, pasti ada yang menang dan kalah.

Indonesia kalah 0-3 dari Malaysia di pertandingan final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, peluang Indonesia menjadi juara Piala AFF 2010 masih berbaki.

Berat, hampir mustahil. Bola itu bundar. Kesempatan untuk menang masih ada.

Pertandingan final Piala AFF 2010 antara Indonesia melawan Malaysia harus dilihat dari sisi sportifitas bukan dari sisi lain seperti politik. Untuk itu, ayuh kedua tim - anda mampu menunjukkan kualitasnya.

Malaysia sudah sepertinya juara baru Piala AFF.

Baca selanjutnya Kisahku...

Saturday, December 25, 2010

DEMI MALAYSIA


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Program Mendidik Demi Malaysia di Kuala Lumpur. Program ini berasaskan konsep mengajar sambil berbakti memberi peluang kepada graduan cemerlang untuk berkhidmat kepada negara dengan menyertai profesion perguruan setelah menamatkan pengajian di universiti.

.....ajarlah anak-anak Malaysia walau sepotong ayat.

Baca selanjutnya Kisahku...

Friday, December 24, 2010

MALAYSIA LAWAN INDONESIA


Indonesia hebat
Malaysia menyengat

Indonesia menang
Malaysia juara

Indonesia tendang
Malaysia tampan

Indonesia skor
Malaysia pun boleh

Skornya berapa?

Baca selanjutnya Kisahku...

Friday, December 17, 2010

MALAM SENTIASA DITEMANI BULAN


Malam ini aku seorang sendiri. Kaki menemani kaki. Bersilang seperti mengaji, dan badan menemani badan. Aku mencari bulan - hadiah khas dari isteri yang setia menemani malam-malamku. Kuletakkannya di riba sambil menekan suis laptop. Bulan dah jatuh ke riba . Atas bulan ada laptop. Lalu 2 jari telunjuk kanan dan kiri berlari-lari di atas papan kekunci. Mengorbit tanpa perlanggaran. Sepertinya mempunyai 11 jari. Terlebih satu. Biasa sepuluh.


Malam ini, sebetulnya setiap malam, menjelang subuh, kau datang tanpa mengetuk pintu atau menekan butang loceng. Walaupun di situ terang terang ada punat loceng dan siap diletakkan gambar loceng. Besarlah juga logonya. Tanpa dipedulikan. Datang tiada dijemput. Aku mengeluh senafas dua. Haiiihh.


Banyak juga perkara baru yang telah dilakukan. Satu, berjaya. Selebihnya gagal. Pujangga kata orang yang tidak pernah gagal sebenarnya tidak pernah melakukan sesuatu yang baru. Bila gagal, aku kecewa dan ada kalanya meradang. Makanya banyaklah dosa yang datang dari kegagalan itu. Haaaiiihhh. Lagi sekali.


Aku ke tepikan bulan dan tika lima anggota semakin kering dek basahan dari muka ke kaki, aku merapatkankan dahi ke lantai. Kau yang datang menambah bilangan helaian rambut yang putih di kepala. Moga helaian putih terus memutih noda yang tiba tiba dan terus tiba.


Sementelahkan tidak mahu lena, aku terus meneroka. Sesuatu yang baru yang sebenarnya lama yang ingin kulaksanakan.


Selamat lena untuk kau yang sebenarnya sempurna, tak pernah alpa bertandang dan mengundang dan selamat pagi untuk aku. Meraikan hari yang baru.

Baca selanjutnya Kisahku...

Sunday, December 12, 2010

TIDAK SERUPA

Demi setiap yang baru, kan menjadi lama. Tiba akhirnya sebuah riwayat. Bermula pula episod baru. Mati sekalipun. Samiyyat dipercaya. Aku semakin berubah.

Rambut jadi puteh. Itu pertumbuhan yang paling ketara dalam banyak-banyak perubahan. Iyalah. Sudah bertahun-tahun asyik menjadi orang yang sama. Bosan la juga.

Baca selanjutnya Kisahku...

Monday, December 6, 2010

MASEH YANG MERANGKAK

Pascal kata, kita jangan terlalu memikirkan masa lampau atau masa akan datang. Dia kata lagi, tawanlah detik sekarang dan manfaatkannya

Saya pernah kata kita kena kira terbalik untuk bergerak ke hadapan. Sila undur ke belakang. Klik balik countdown ni, Pasti berwarna warni.

ok start kira......24,23,22,21,20......

maju ke belakang,
undur ke hadapan.

salam maal hijrah
selamat tahun baru
happy new year

hijrah gagah melangkah
maseh masih merangkak mengira

Baca selanjutnya Kisahku...

Friday, November 26, 2010

Sesat Surut Terlangkah Kembali

Hadir mewarnai dunia maya. Agar tidak sama warna-warna rasian - hitam dan putih. Walau fontnya berwarna hitam. Moga sedikit mewarnai lukisan di sini. Terima kasih atas sanggaan. Aku menulis bukan kerana warna, tapi kerana ada.

Baca selanjutnya Kisahku...

Monday, October 25, 2010

SELAMAT TINGGAL BLOGKU

Selamat Tinggal Bungaku



selamat tinggal bungaku

aku bermohon pergi dahulu

terima kasih seruanku

jasamu untuk diriku



ke timur atau utara

tak tentu di mana nak tujukan

setitik air mata

dititis dan dibuang jangan



sekiranya aku masih

berada nun jauh di balik awan

salam bahagia

khabar yang gembira ku kirimkan



inikah akhir bertemu

bila nian kan berjumpa lagi

ingatlah pesanan ku

jaga baik diri sendiri


Terima kasih semua. Saya bermohon untuk mengundur diri di dunia blog ini. Terima kasih tidak terhingga buat Saudara Sahromnasrudin, Maiyah, Abdul Razak, Kakcik, Aliaazuan, Rozali, Tinta Kenanganku, minda cikgu pj, zulkbo, yang baik, naman, Kak G, Kak Nora, Abang Temuk, Luah Fikiran, Ustaz Eds, Sonata, Umi masyitah, piewahid, ainhany, kiwi, sha, mantan, Kak Helli, Inilah Duniaku, Capt Bokhari, Cikgu Sue, Idalara, Alona, brutalsolo, IM, aby, Ikan Emas, Shameel Iskandar, Syahbandar, Sedikit Coretan, Ismiku, White Rose, Gadis Comel, onezaba, Admin P@P...para follower,

dan

semua yang melayari blog ini.

Mohon maaf atas segala keterlanjuran bahasa yang menyinggung perasaan. Maaf atas segala-galanya. Moga segera bertemu atau sebaliknya.

Baca selanjutnya Kisahku...

Thursday, October 21, 2010

DUNIA BARU HELICONIA

Keindahanmu kuabadikan. Walau sudah kering tak bercahya. Dan sementara, kubiarkan kau terus benar-benar kering agar spora-spora nakal tak mampu mencengkam kulitmu.

Tiada idea baru. Hanya meniru gaya sebenarmu. Kulahirkan kau semula. Dengan sentuhan semula Cat Pelaka. Di dunia baru. Di celahan tanduk sang rusa.


Baca selanjutnya Kisahku...

Tuesday, October 19, 2010

Hati Longlai Jadi Terhibur

Bunga berwarna ditabur. Merah. Kuning. Biru. Putih. Campur daun pandan. Biar kau menapak di atasnya. Atas karpet buatan Malaysia. Dari tapak pertama menuruni delman luar dari kebiasaan. Sampai ke pintu Bilik Nombor Satu. Agar sepatu tak dicemari calar-calar lumpur.

Biarkan panasnya sampai ke petang. Tidakkan hujan di tengah hari. Mendung tidak mengapa. Walau ribut ada diduga.

Dan aku harap, sangat boleh memayungmu. Biar redup sentiasa.

O..oh..rantai terlepas....yeeeeha! Pinjam sorak dari ros putih.

Baca selanjutnya Kisahku...

Monday, October 18, 2010

PIANO DIGITAL

Kerajaan Korea telah menyumbangkan beberapa buah piano ke pihak Kerajaan Malaysia dan sebuah daripadanya (piano digital) telah di agihkan untuk SK Sungai Galah sebagai tanda mengukuhkan serta memperingati hubungan diplomatik antara Malaysia - Korea yang telah terjalin selama 50 tahun.

SK Sungai Galah mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada JPN dan Kerajaan Korea. Terima kasih Booyoung Housing Co. Ltd.

***Finaz - kalau ko tak jadi derma piano tu tak pe la, kami dah dapat satu. Ko derma gambarnye...itu dah memadai. Tq

Baca selanjutnya Kisahku...

Sunday, October 17, 2010

MENARA 100 TINGKAT


"Satu lagi projek bersepadu yang dijangka akan menelan RM5 billion bakal siap pada tahun 2020. Menara 100 tingkat itu dikenali sebagai Warisan Merdeka yang dibangunkan oleh Permodalan Nasional Bhd akan menjadi mercu tanda negara Malaysia.

Pencakar langit itu bakal menjadi menara tertinggi di negara ini dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2015."

Bangganya aku.

Bah di bumi. Sebu di udara. Warga asing membanjir. Bukan semuanya mahu bekerja. Ramai yang nak survive untuk kelangsungan hidup. Itu yang merompak, menyamun, membunuh. Bukan datang nak bina menara tu je.

Apa kata tukar je bajet tu bagi bonus lebat sket? Atau kedua-duanya sekali?

Baca selanjutnya Kisahku...

Thursday, October 14, 2010

DENGARKAN







Harum nian baumu anggerik merah. Wangian apa kau pakai?

Aku? Kau apa kurangnya. Tak pernah kualaminya.

Bukan aku. Agaknya si kuning gadis menari di atas tu???

Bukan aku la..., pantas 'lady dancing' membalas. Agaknya datang dari kolam tu?

Kami pun tak pakai wangian ini....semerbak sungguh!!!!



*********************


Mendengarkan perbualan mereka, aku senyum. Aku terus menggambar aksi mereka. Mentari makin tergelincir di ufuk barat. Haruman yang ku pakai, mampu memalukan flora-flora di laman.

Baca selanjutnya Kisahku...

Monday, October 11, 2010

Bulan Belum Jatuh Ke Riba Tapi Buah Sudah Gugur...

Sudah hampir dua minggu. Seperti bintang. Ia mengeliling kepalaku. Walau bukan kilauan emas. Aku tangkap. Masukkan ke dalam kocek. Benarlah. Penantian itu suatu siksa bisa. Namun bintang belum tersua.

Kepastian tiba sebagai penawar. Kita di temukan. Dalam keadaan aku separuh bogel. Bertowel paras pusat dan lutut. Menyahut panggilan Abang Posmen. Satu yang aku tunggu. Tiga yang sampai.

Sekeping replika cek untuk Ahmad Khir (Jom lawat blog anak saya). Parcel untuk Ahmad Khir. Dan bungkusan untukku. Berkotakkan xerox phaser 3117, 3112 print cartridge. Terima kasih Shahromnasrudin (Blog yang dah femes di kalangan kita). Persahabatan yang tak ternilai dek harta setinggi menara berkembar petronas.


replika cek untuk Ahmad Khir


hadiah yang dimenangi Ahmad Khir



dan....terima kasih sahrom hadiah yang amat bermakna

Baca selanjutnya Kisahku...

Sunday, October 10, 2010

Selamat Bersara Tuan Haji Mokhtar bin Mat Dris, AMN, PPD Perak Tengah.






Banyak ubi perkara ubi,
Ubi Daik saya tanamkan,
Banyak budi perkara budi,
Budi baikmu saya kenangkan.

Banyak duri perkara duri,
Tidak sama duri mengkuang;
Banyak budi perkara budi,
Tidak sama budimu seorang.

Pulau Daik banyak kelapa,
Pulau Karimon banyak pegaga;
Budi baikmu payah dilupa,
Beribu tahun dikenang juga.


Selamat bersara Tuan Haji Mokhtar bin Mat Dris,
Allah selamatkan Tuan.

Baca selanjutnya Kisahku...

Thursday, October 7, 2010

ZULHIJJAH 10, 2010

Bukan raya haji namanya kalau tak berkaitan dengan kerja-kerja haji. Tidak lengkap raya haji tanpa nyanyian tahmid. Tidak sah raya korban kalau tak ditumbangkan kerbau lembu di hari tasyrik.

Hari ini kerbau-kerbau sudah dipinang. Lembu sudah ditambat, Kambing sudah diikat. Di masjid, di surau dan di taman. Yang belum dipinang terus bersolek. Mempamerkan otot-otot berulas. Juga pastinya menahan bersin, tanda sihat walafiat. Tidak hairanlah kalau seluruh keluarga kambing serta kerbau lembu bergembira sekali. Mereka bernyanyi dan berdoa. Ada juga yang menari menyambut hari yang bakal tiba. Syukur mereka kata.

Di sana sini, jemputan kenduri. Tanda bersyukur atas nikmat yang diberi. Ala-ala open hause. Duit raya diberi para tamu yang mengerti.

Senyumanku melebar. Bersama senyum-senyum kambing, lembu dan kerbau yang bakal disembelih.

Alhamdulillah.

Baca selanjutnya Kisahku...

Sunday, October 3, 2010

MANA MAU LARI

rasanya aku mahu lari saja.
mencari damai.
dalam belukar.
tepi sungai.
masuk dalam semak.
masuk dalam kotak.
kotak washing machine.
duduk diam-diam.
sambil tebuk lubang pada kotak.
biar cahaya lurus mentari menerangi kotak.

jangan pedulikan hingar kenderaan yang lalu.
bersih atau kotornya sungai.
kucing yang singgah kencing.
bekas sondolan khinzir yang hanyir.

tarik nafas dalam dalam.
satu, dua, tiga, empat.
ikut meter empat-empat.
biar berkala.

kudengar gemersik angin,
debur sungai.
miau kucing.
cicip kelicap.
deram kenderaan.

aku pasti.
tiada mata manusia yang melihat.
aku lari mencari damai.
dalam kotak.
dan kalau mereka nampak.
tentu kata.

bodoh!

gila!!

Baca selanjutnya Kisahku...

Monday, September 27, 2010

PANGGILAN HAJI 2010





selamat engkau pergi
selamat engkau kembali

doakan kesejahteraan kami


Cikgu Osman Sulaiman , Guru Penolong Kanan Pentadbiran, SK Sg. Galah akan berangkat ke tanah suci pada 17 Oktober bersama jemaah Haji Malaysia 2010 yang lainnya.

Semoga mendapat Haji yang mabrur.

Baca selanjutnya Kisahku...

Thursday, September 23, 2010

MERDEKA


Merdeka!!!!

Itulah laungan yang didengar sebaik meninggalkan dewan peperiksaan (UPSR 2010) jam 3.45 petang tadi sebaik selepas Ujian Aptitud bagi murid Tahun 6.

Apakah adik MOHD DANISH AIMAN (gambar di atas) boleh berjaya dalam peperiksan itu? Beliau terpaksa menggunakan kanta pembesar untuk membaca kertas soalan...

Habis periksa...cikgu-cikgu Tahun Enam dah boleh relax...murid apalah lagi. Jangan bercempera tak tentu pasal sudahla.

Baca selanjutnya Kisahku...

Sunday, September 19, 2010

RUMAH TERBUKA


Aku mendapat petanda yang bahawa seekor naga sesat akan singgah di taman lamanku. Bukan taman larangan. Aku besedia dengan rumah terbuka. Aku bersedia dengan senjata.

Rumah terbuka, jika sekiranya naga datang bawa rahmat serta buah tangan dari angkasa.

Senjata, andai naga bertukar menjadi garuda ganas melibaskan sayap berapi yang membakar taman.

Semuanya tidak dijangka.

Rumah terbukaku. Siapa-siapa jua boleh datang. Tiada tarikh tutup. Cuma aku sahaja yang bimbang.

Baca selanjutnya Kisahku...

Friday, September 17, 2010

SELAMAT MAJU JAYA DALAM UPSR 2010


Sebagai ibubapa, kita juga sama-sama berjihad seiring dengan anak kita ketika menghadapi peperiksaan. Kita sebagai ibubapa juga "tension" dan gemuruh. Sempena menjelang peperiksaan UPSR pada 21, 22 dan 23 September ini izinkan saya berkongsi beberapa "tips" dan panduan yang telah dikumpul dari ceramah dan artikel internet, lebih-lebih lagi bagi kita yang tidak dapat bersama anak-anak kita semasa mereka bertarung untuk menghadapi peperiksaan.

1. BERTENANG - Jangan biarkan anak-anak melihat betapa risaunya anda. Keadaan ini akan menambahkan tekanan mereka.

2. MAKANAN - Pastikan mereka mendapat makanan yang berkhasiat dan makan vitamin supaya kesihatan mereka dapat dimantapkan. Bekalkan mereka dengan kismis dan kurma apabila pulang ke sekolah. Kismis dan kurma adalah makanan yang sungguh banyak khasiatnya dan merupakan sunnah nabi.

3. MINUMAN - Bekalkan mereka dengan susu dalam kotak apabila pulang ke sekolah. Jika tidak dapat berbuat demikian, cuba berikan mereka wang untuk membelinya di sekolah. Elakkan daripada minum minuman berkarbonat.

4. PERCAKAPAN - Jagalah pertuturan kita dengan mereka. Gunakan ayat-ayat positif dan elakkan ayat-ayat negatif, contohnya, "Jangan buang masa", "Jangan tidur lewat", "Jangan banyak bermain", sebaliknya ucapkanlah "Manfaatkanlah masa kamu dengan baik", Tidurlah secukupnya", Gunakanlah masa untuk berbincang dengan kawan tentang pelajaran".

5. TEKANAN - Kita seharusnya memahami bahawa mereka sedang berasa tertekan. Jangan menambahkan tekanan ini dengan memaksa mereka membuat lebih banyak kerja. Biarlah mereka merehatkan otak mereka seketika. Bawa mereka berjalan, beriadah dan hiburkan hati mereka.

6. BERSUKAN - Mungkin ada di kalangan anak kita yang gemar bersukan. Biarlah mereka bersukan asalkan tidak melampau hinggakan terlalu penat untuk belajar. Keselamatan juga haruslah dijaga.

7. KESIHATAN GIGI DAN MATA - Gunakan masa cuti untuk membuat pemeriksaan gigi agar tiada gangguan seperti sakit gigi ketika menghadapi peperiksaan. Bagi yang memakai cermin mata, pastikan cermin mata mereka dalam keadaan yang baik.

8. KEYAKINAN DIRI - Pastikan anda memantapkan keyakinan diri anak-anak supaya mereka berasa yakin dengan diri sendiri. Jika keyakinan diri mereka goyah, ini akan menjejaskan prestasi mereka.

9. DOA - Sentiasa berdoa untuk anak-anak dan pastikan mereka tahu yang bahawa betapa prihatinnya anda. Kita doakan untuk mereka supaya mereka berasa libih dekat pada kita dan lebih yakin.

10. SOLAT HAJAT - Bagi yang beragama Islam, lakukan solat hajat samada bersama anak atau keluarga ataupun bersendirian. (Sempena Ramadan, ambillah peluang keemasaan).

11. AIR YASSIN - Bagi yang beragama Islam, bekalkan air yaassin yang mana kita telah berdoa untuk anak kita.

BACA YAA-SIN DAN SURAH AL BAQARAH bagi yang beragama Islam. Baca YAASIN dan surah AL BAQARAH ketika kita tahu bahawa anak kita sedang berada di dalam dewan peperiksaan. Sekiranya tidak berpeluang membaca, pasangkan CD atau Kaset.

Semoga berjaya dengan cemerlang, InsyaAllah.

Baca selanjutnya Kisahku...

Saturday, September 11, 2010

ZIARAH PUSARA

Align Center
SESUDAH BERSEMBAHYANG
DI PAGI RAYA
MENZIARAHI PUSARA
KAUM KELUARGA
BUNGA DITABUR DOA PUN DIBACA
MUDAH-MUDAHAN ROHNYA
DICUCURI RAHMAT

Baca selanjutnya Kisahku...

Tuesday, September 7, 2010

MANUSIA DEGIL

Baca selanjutnya Kisahku...

Saturday, September 4, 2010

Majlis Baca Yassin Dan Solat Hajat Sekolahku


Moga Allah ampunkan dosa-dosaku, kedua ibu bapaku, isteriku, anak-anakku serta seluruh umat muslimin.

Moga Allah berikan keputusan cemerlang buat anak-anak didikku yang akan menghadapi UPSR 2010 pada 21, 22, dan 23 September ini.

Moga Allah selamatkan kami semua, memelihara kami dari segala bencana, gangguan dunia serta wabak penyakit.

Allah Maha Mengetahui keperluan kami semua.

Moga Allah matikan kami semua dalam iman.

Cerita selanjutnya : klik Blog Sekolah SKSG

Baca selanjutnya Kisahku...

Friday, September 3, 2010

Malam Tujuh Likur


Apalah guna pasang pelita,
Kalau tidak dengan sumbunya,
Apalah guna lailatul qadar dicita,
Kalau tidak dengan sungguhnya.

Baca selanjutnya Kisahku...

Wednesday, September 1, 2010

SEGALANYA MUNGKIN

BERSEJARAH...Presiden Mesir, Hosni Mubarak, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan Raja Jordan, Raja Abdullah II berjalan ke Bilik Timur bagi memberikan kenyataan bersama sebelum memulakan semula rundingan damai Palestin-Israel, di Rumah Putih, hari ini. - AFP

Baca selanjutnya Kisahku...

Tuesday, August 31, 2010

POKOK SUJUD - TANDA TURUNNYA LAILATULQADAR


Menjelang Asar. Langit menjadi kelam. Angin kencang. Mencabut cengkaman skru dari pasaknya lalu menerbangkan atap-atap bazar ramadan. Jalan raya dibanjiri daun-daun kering. Guruh berdentum. Hujan turun dengan lebatnya.

Atap di restoran Bunga Tanjung rebah ke bumi. Beberapa batang pokok di kiri kanan jalan tersembam jatuh menghalang lalulintas. Pokok-pokok bunga di lamanku sujud menyembah bumi. Kata ustaz, bila turunnya lailatulqadar, pokok akan sujud. Pokok sujud. Pokok tumbang. Berbezakah?.Wallahualam.

Aku berdoa. Agar Allah mengampunkan dosa-dosaku. Agar Allah ampunkan dosa-dosa kedua ibubapaku. Agar Allah mengampunkan dosa-dosa isteriku. Agar Allah ampunkan dosa-dosa anak-anakku. Agar Allah ampunkan dosa-dosa seluruh umat islam di dunia ini.

Mungkinkah. Malaikat berkunjung ke dunia makhluk. Di gelita malam. Di benderang siang. Satu masa. Dua dunia. Andai kau turun di malam hari di dunia sebelah, sedarkan aku di dunia aku yang siang ini.

Baca selanjutnya Kisahku...

Saturday, August 28, 2010

KUMPUL DUIT RAYA


Aman adik Amin. tapi dia kecik je. Kecil sedikit daripada Faiq, cucu Tok Temuk. tinggal setaman dengan Alif yang baik. Aman memang berkawan dengan Aeyman tak kesah. Mereka hanya ditemukan di dunia antah berantah. Aman juga agak sebaya dengan anak buah Aliaazuan.

Aman dah boleh kayuh basikal yang rodanya ada empat. Dekat hendal depan dia pasang bendera Malaysia. Dekat lanting belakang dia pasang dua bendera Malaysia. Hari raya dia nak kumpul duit raya. Hari raya di bulan merdeka dia nak kumpul double.

Sambil nyanyi lagu tanggal 31, Aman kayuh basikal beroda empat. Pergi ke rumah Opah Edah.

"
assalamualaikum opah. saya datang nak raya ni.

erm...aman. masukla. kamu tak puasake?

dah raya opah. mana boleh puasa.

ya tak ya jugak. hari ini kan hari merdeka? selamat hari raya merdeka aman. "

Opah Edah melayan Aman. Bercerita kisah merdeka. Kisah sengsara Zaman Jepun. Pernah atuk menikam seorang tentera Jepun dengan benet yang opah edah tunjukkan. Opah edah bangga. Aman cuba angkat benet. Tak terangkat.

"
bagi kat aman benet ni boleh tak opah? aman nak buat koleksi kenangan cerita opah ni.

jangan...opah nak buangkannya kat dalam lombong, berhantu benet ni.

oklah opah, aman mintak diri dulu. "

Amanpun bersalaman dengan Opah Edah.

Opah Edah mengeluarkan sampul hijau untuk Aman.

" Terima kasih opah. selamat hari raya...selamat merdeka! ", ucap aman sambil menggenggam tangan ke udara.

Sampul hijau pertama aman dapat...lima keping duit kertas. gambar pokok pisang.

Baca selanjutnya Kisahku...

Monday, August 23, 2010

MENYAHUT SERUAN


AL FATIHAH

BELANGSUNGKAWA
MOHD TERMIZI TAHIR
RAKAN SEPASUKAN YANG KINI TELAH KEMBALI MENYAHUT SERUAN ILAHI.
KAMI AKAN MENYUSULIMU

Baca selanjutnya Kisahku...

Saturday, August 21, 2010

Setangkai Mawar - buat En. Ahmad Suziman b. Ahmad Muzni

Aku dapat permintaan dari Kedah melalui handset, (21 Ogos 2010 : 2.10 petang) minta carikan muzik lagu Setangkai Mawar. Katanya puas dia Google tapi tak dapat. Sebenarnya bolehje tu En.Ahmad Suziman. Cuma kita perlukan kesabaran mencarinya.

Aku dah upload lagu tersebut khas untukmu. Nikmatinya (tapi kena download dulu).


Setangkai Mawar

Harum wangi dan bersinar
Setangkai mawar dijambangan
Dipuja-puja dalam jambangan
Idaman rindu sang kumbang

Tetap teguhnya ditangkai
Melambai ditiup sang bayu
Tak gugur bunga jangan dicapai
Indahnya menjadi ilhamku

Berjiwa suci dan beramal damai
Itulah ajaran yang benar
Aman dan tenang hidup yang permai
Dikeliling setangkai mawar

Tetap teguh hidup kita
Sebati membela negara
Dijunjung tinggi dipuja-puja
Harapan kita di Malaysia

Klik link ini untuk Download muzik lagu Setangkai Mawar.

Pastu klikje Click here to start download.

Maaf, muzik persembahanku tidak seberapa.
Namun diharapkan agar dapat memenuhi permintaanmu.

Baca selanjutnya Kisahku...

Wednesday, August 18, 2010

AMIN DI BULAN PUASA

Kemahuan Amin banyak sangat. Semuanya dia nak. Pantang terdetik.
Terlaksana semuanya.


Amin genggam ular lidi. Ular lidi menjadi naga. Amin hembus naga. Naga ditelan labah-labah. Lenyap.


Tika iftar, Amin jamah tamar. Tersendorong bazar ramadan. Amin beri pada jiran.


Amin, Amin. Boleh jadi apa sahaja. Genggamlah apa-apa. Hembuslah apa-apa. Jamahlah apa-apa. Kesemuanya Ya. Segera atau sebaliknya. Tuhan confirm.

Baca selanjutnya Kisahku...

Monday, August 16, 2010

7 RAMADAN - Hari Ini Dalam Sejarah


Rama-rama berbentuk hati itu terbang. Berlegar mengeliling pintu. Kemudian masuk. Terus hinggap di atas Sony Ericsson, Handset dalam rumah. Di atas meja. Meja kacang. Dari kayu jati.

Lima puluh dua saat dia hinggap.

Dalam mud gegar, ia bergegar. Mengeluarkan cahaya dan memeranjatkan rama-rama berbentuk hati yang leka hinggap. Baru dia tahu. Handset akan bergegar serta mengeluarkan cahaya apabila mesej masuk ke handset.

Rama-rama berbentuk hati terbang dan hinggap pula di atas nokia 3120 disebelahnya. Baru tujuh saat dia hinggap. Kali ini bergegar lagi. Mengeluarkan cahanya dan kali ini diiring ringtone lagu doraemon.

Mesej terpapar.

"SELAMAT HARI LAHIR ABAH UNTUK KALI KEDUA TAHUN INI. SELAMAT PANJANG UMUR SERTA DIMURAHKAN REZEKI"

.....dulutu, opah kata abah dilahirkan seminggu di bulan puasa. Tok takde pada mase tu dan pakcik Zie melaungkan azan ke telinga abah....

Aku check kat sini. Betul. Hari ini memang aku dilahirkan mengikut kalendar hijrah...Rupa-rupanya umurku sudah bertambah 2 tahun lagi berbanding kalendar Masehi.

Baca selanjutnya Kisahku...

Thursday, August 12, 2010

APA ADA PADA ABC


berbuka nanti pekena ABC....


Rakyat Malaysia sukakan ABC.

(Jika anda bukan rakyat Malaysia, atau telah lama berada di luar negara dan tidak mengetahui apa maknanya, ABC adalah Air Batu Campur)

Sekiranya anda suka kacang, ada kacang di dalamnya. Kalau anda sukakan rasa manis, tiada apa yang perlu dirisaukan, kerana ada sirap, susu cair dan ais krim di bahagian atasnya.



Dan di tengah terik matahari, tiada yang lebih menyamankan daripada semangkuk ais yang diparut.

Isinya yang lain juga menambahkan kelazatan. Jeli yang berwarna-waini, kacang besar dan buah pala, kacang tanah dan jagung penuh berkrim...mmmm....


Setiap satunya sedap, tapi hanya apabila mereka dicampur bersama - menjadikan semangkuk ABC begitu istimewa. Itulah yang kita paling suka tentang ABC. Ia mengingatkan kita tentang sesuatu yang menyeronokkan. Di mana setiap satunya berbeza, namun menjadi yang terbaik apabila bersama.

Kita mungkin tidak bersefahaman tentang sesuatu - seperti kacang manakah yang lebih digemari - tetapi setuju dengan banyak lagi perkara lain. Umpamanya, betapa kita semua sukakan ABC.


DALAM MENYAMBUT ULANG TAHUN KE 53 SEBAGAI 1 NEGARA, 1 RAKYAT, KEKUATAN KITA YANG PALING UTAMA ADALAH SATU SAMA LAIN. SEMOGA SEMANGAT PERPADUAN YANG DIKONGSI BERSAMA INI AKAN TERUS MENJADIKAN MALAYSIA PALING ISTIMEWA.

....seperti yang diiklankan.

Salam Merdeka!


mohon menyepi seketika

Baca selanjutnya Kisahku...

Tuesday, August 10, 2010

PERASMIAN BULAN KEMERDEKAAN 2010 DI SK SG GALAH

Tuesday, August 10, 2010

10 Ogos, Selasa - Pada perhimpunan rasmi Isnin semalam, satu majlis perasmian ringkas Sambutan Bulan Kemerdekaan peringkar sekolah bagi tahun 2010 telah pun diadakan.

Majlis ini dirasmikan sendiri oleh Guru Besar SK Sungai Galah, En. Abd Razak b Haji Adam.

layari : blog sekolah SK Sungai Galah (Klik sini)


Baca selanjutnya Kisahku...
Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Saya ingin bersama-sama kalian dalam dunia siber ini. Saya juga mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya catatkan dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elakkan perkataan buruk, bersifat hasutan, atau fitnah. Jagalah akhlak kita sewaktu berbicara di blog ini. Terima kasih.

TOP VISITOR

Statistik Pelawat Hari Ini

Try us on Wibiya!

Blog Archive

  © Blogger templates Inspiration by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP