MUTIARA KATA HARI INI

Monday, October 25, 2010

SELAMAT TINGGAL BLOGKU

Selamat Tinggal Bungaku



selamat tinggal bungaku

aku bermohon pergi dahulu

terima kasih seruanku

jasamu untuk diriku



ke timur atau utara

tak tentu di mana nak tujukan

setitik air mata

dititis dan dibuang jangan



sekiranya aku masih

berada nun jauh di balik awan

salam bahagia

khabar yang gembira ku kirimkan



inikah akhir bertemu

bila nian kan berjumpa lagi

ingatlah pesanan ku

jaga baik diri sendiri


Terima kasih semua. Saya bermohon untuk mengundur diri di dunia blog ini. Terima kasih tidak terhingga buat Saudara Sahromnasrudin, Maiyah, Abdul Razak, Kakcik, Aliaazuan, Rozali, Tinta Kenanganku, minda cikgu pj, zulkbo, yang baik, naman, Kak G, Kak Nora, Abang Temuk, Luah Fikiran, Ustaz Eds, Sonata, Umi masyitah, piewahid, ainhany, kiwi, sha, mantan, Kak Helli, Inilah Duniaku, Capt Bokhari, Cikgu Sue, Idalara, Alona, brutalsolo, IM, aby, Ikan Emas, Shameel Iskandar, Syahbandar, Sedikit Coretan, Ismiku, White Rose, Gadis Comel, onezaba, Admin P@P...para follower,

dan

semua yang melayari blog ini.

Mohon maaf atas segala keterlanjuran bahasa yang menyinggung perasaan. Maaf atas segala-galanya. Moga segera bertemu atau sebaliknya.

Baca selanjutnya Kisahku...

Thursday, October 21, 2010

DUNIA BARU HELICONIA

Keindahanmu kuabadikan. Walau sudah kering tak bercahya. Dan sementara, kubiarkan kau terus benar-benar kering agar spora-spora nakal tak mampu mencengkam kulitmu.

Tiada idea baru. Hanya meniru gaya sebenarmu. Kulahirkan kau semula. Dengan sentuhan semula Cat Pelaka. Di dunia baru. Di celahan tanduk sang rusa.


Baca selanjutnya Kisahku...

Tuesday, October 19, 2010

Hati Longlai Jadi Terhibur

Bunga berwarna ditabur. Merah. Kuning. Biru. Putih. Campur daun pandan. Biar kau menapak di atasnya. Atas karpet buatan Malaysia. Dari tapak pertama menuruni delman luar dari kebiasaan. Sampai ke pintu Bilik Nombor Satu. Agar sepatu tak dicemari calar-calar lumpur.

Biarkan panasnya sampai ke petang. Tidakkan hujan di tengah hari. Mendung tidak mengapa. Walau ribut ada diduga.

Dan aku harap, sangat boleh memayungmu. Biar redup sentiasa.

O..oh..rantai terlepas....yeeeeha! Pinjam sorak dari ros putih.

Baca selanjutnya Kisahku...

Monday, October 18, 2010

PIANO DIGITAL

Kerajaan Korea telah menyumbangkan beberapa buah piano ke pihak Kerajaan Malaysia dan sebuah daripadanya (piano digital) telah di agihkan untuk SK Sungai Galah sebagai tanda mengukuhkan serta memperingati hubungan diplomatik antara Malaysia - Korea yang telah terjalin selama 50 tahun.

SK Sungai Galah mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada JPN dan Kerajaan Korea. Terima kasih Booyoung Housing Co. Ltd.

***Finaz - kalau ko tak jadi derma piano tu tak pe la, kami dah dapat satu. Ko derma gambarnye...itu dah memadai. Tq

Baca selanjutnya Kisahku...

Sunday, October 17, 2010

MENARA 100 TINGKAT


"Satu lagi projek bersepadu yang dijangka akan menelan RM5 billion bakal siap pada tahun 2020. Menara 100 tingkat itu dikenali sebagai Warisan Merdeka yang dibangunkan oleh Permodalan Nasional Bhd akan menjadi mercu tanda negara Malaysia.

Pencakar langit itu bakal menjadi menara tertinggi di negara ini dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2015."

Bangganya aku.

Bah di bumi. Sebu di udara. Warga asing membanjir. Bukan semuanya mahu bekerja. Ramai yang nak survive untuk kelangsungan hidup. Itu yang merompak, menyamun, membunuh. Bukan datang nak bina menara tu je.

Apa kata tukar je bajet tu bagi bonus lebat sket? Atau kedua-duanya sekali?

Baca selanjutnya Kisahku...

Thursday, October 14, 2010

DENGARKAN







Harum nian baumu anggerik merah. Wangian apa kau pakai?

Aku? Kau apa kurangnya. Tak pernah kualaminya.

Bukan aku. Agaknya si kuning gadis menari di atas tu???

Bukan aku la..., pantas 'lady dancing' membalas. Agaknya datang dari kolam tu?

Kami pun tak pakai wangian ini....semerbak sungguh!!!!



*********************


Mendengarkan perbualan mereka, aku senyum. Aku terus menggambar aksi mereka. Mentari makin tergelincir di ufuk barat. Haruman yang ku pakai, mampu memalukan flora-flora di laman.

Baca selanjutnya Kisahku...

Monday, October 11, 2010

Bulan Belum Jatuh Ke Riba Tapi Buah Sudah Gugur...

Sudah hampir dua minggu. Seperti bintang. Ia mengeliling kepalaku. Walau bukan kilauan emas. Aku tangkap. Masukkan ke dalam kocek. Benarlah. Penantian itu suatu siksa bisa. Namun bintang belum tersua.

Kepastian tiba sebagai penawar. Kita di temukan. Dalam keadaan aku separuh bogel. Bertowel paras pusat dan lutut. Menyahut panggilan Abang Posmen. Satu yang aku tunggu. Tiga yang sampai.

Sekeping replika cek untuk Ahmad Khir (Jom lawat blog anak saya). Parcel untuk Ahmad Khir. Dan bungkusan untukku. Berkotakkan xerox phaser 3117, 3112 print cartridge. Terima kasih Shahromnasrudin (Blog yang dah femes di kalangan kita). Persahabatan yang tak ternilai dek harta setinggi menara berkembar petronas.


replika cek untuk Ahmad Khir


hadiah yang dimenangi Ahmad Khir



dan....terima kasih sahrom hadiah yang amat bermakna

Baca selanjutnya Kisahku...

Sunday, October 10, 2010

Selamat Bersara Tuan Haji Mokhtar bin Mat Dris, AMN, PPD Perak Tengah.






Banyak ubi perkara ubi,
Ubi Daik saya tanamkan,
Banyak budi perkara budi,
Budi baikmu saya kenangkan.

Banyak duri perkara duri,
Tidak sama duri mengkuang;
Banyak budi perkara budi,
Tidak sama budimu seorang.

Pulau Daik banyak kelapa,
Pulau Karimon banyak pegaga;
Budi baikmu payah dilupa,
Beribu tahun dikenang juga.


Selamat bersara Tuan Haji Mokhtar bin Mat Dris,
Allah selamatkan Tuan.

Baca selanjutnya Kisahku...

Thursday, October 7, 2010

ZULHIJJAH 10, 2010

Bukan raya haji namanya kalau tak berkaitan dengan kerja-kerja haji. Tidak lengkap raya haji tanpa nyanyian tahmid. Tidak sah raya korban kalau tak ditumbangkan kerbau lembu di hari tasyrik.

Hari ini kerbau-kerbau sudah dipinang. Lembu sudah ditambat, Kambing sudah diikat. Di masjid, di surau dan di taman. Yang belum dipinang terus bersolek. Mempamerkan otot-otot berulas. Juga pastinya menahan bersin, tanda sihat walafiat. Tidak hairanlah kalau seluruh keluarga kambing serta kerbau lembu bergembira sekali. Mereka bernyanyi dan berdoa. Ada juga yang menari menyambut hari yang bakal tiba. Syukur mereka kata.

Di sana sini, jemputan kenduri. Tanda bersyukur atas nikmat yang diberi. Ala-ala open hause. Duit raya diberi para tamu yang mengerti.

Senyumanku melebar. Bersama senyum-senyum kambing, lembu dan kerbau yang bakal disembelih.

Alhamdulillah.

Baca selanjutnya Kisahku...

Sunday, October 3, 2010

MANA MAU LARI

rasanya aku mahu lari saja.
mencari damai.
dalam belukar.
tepi sungai.
masuk dalam semak.
masuk dalam kotak.
kotak washing machine.
duduk diam-diam.
sambil tebuk lubang pada kotak.
biar cahaya lurus mentari menerangi kotak.

jangan pedulikan hingar kenderaan yang lalu.
bersih atau kotornya sungai.
kucing yang singgah kencing.
bekas sondolan khinzir yang hanyir.

tarik nafas dalam dalam.
satu, dua, tiga, empat.
ikut meter empat-empat.
biar berkala.

kudengar gemersik angin,
debur sungai.
miau kucing.
cicip kelicap.
deram kenderaan.

aku pasti.
tiada mata manusia yang melihat.
aku lari mencari damai.
dalam kotak.
dan kalau mereka nampak.
tentu kata.

bodoh!

gila!!

Baca selanjutnya Kisahku...
Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Saya ingin bersama-sama kalian dalam dunia siber ini. Saya juga mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya catatkan dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elakkan perkataan buruk, bersifat hasutan, atau fitnah. Jagalah akhlak kita sewaktu berbicara di blog ini. Terima kasih.

TOP VISITOR

Statistik Pelawat Hari Ini

Try us on Wibiya!

  © Blogger templates Inspiration by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP