
Malam ini aku seorang sendiri. Kaki menemani kaki. Bersilang seperti mengaji, dan badan menemani badan. Aku mencari bulan - hadiah khas dari isteri yang setia menemani malam-malamku. Kuletakkannya di riba sambil menekan suis laptop. Bulan dah jatuh ke riba . Atas bulan ada laptop. Lalu 2 jari telunjuk kanan dan kiri berlari-lari di atas papan kekunci. Mengorbit tanpa perlanggaran. Sepertinya mempunyai 11 jari. Terlebih satu. Biasa sepuluh.
Malam ini, sebetulnya setiap malam, menjelang subuh, kau datang tanpa mengetuk pintu atau menekan butang loceng. Walaupun di situ terang terang ada punat loceng dan siap diletakkan gambar loceng. Besarlah juga logonya. Tanpa dipedulikan. Datang tiada dijemput. Aku mengeluh senafas dua. Haiiihh.
Banyak juga perkara baru yang telah dilakukan. Satu, berjaya. Selebihnya gagal. Pujangga kata orang yang tidak pernah gagal sebenarnya tidak pernah melakukan sesuatu yang baru. Bila gagal, aku kecewa dan ada kalanya meradang. Makanya banyaklah dosa yang datang dari kegagalan itu. Haaaiiihhh. Lagi sekali.
Aku ke tepikan bulan dan tika lima anggota semakin kering dek basahan dari muka ke kaki, aku merapatkankan dahi ke lantai. Kau yang datang menambah bilangan helaian rambut yang putih di kepala. Moga helaian putih terus memutih noda yang tiba tiba dan terus tiba.
Sementelahkan tidak mahu lena, aku terus meneroka. Sesuatu yang baru yang sebenarnya lama yang ingin kulaksanakan.
Selamat lena untuk kau yang sebenarnya sempurna, tak pernah alpa bertandang dan mengundang dan selamat pagi untuk aku. Meraikan hari yang baru.
Baca selanjutnya Kisahku...