Langit tidak pernah menyimpan rahsia. Apa yang nampak itulah juga yang mahu langit beri. Ketika itu langit sepertinya mahu memberi hujan. Ia kelihatan hitam. Berarak lalu. Aku membuang pandang menerusi jendela. Dalam kotak tempat berlindung. Yang sering disinggahi kucing-kucing kencing.
Julai datang lagi. Bulan menggambar semula. Peristiwa silam. Terasa segar bugar dipeluk utusan doa di celahan awan. Awan-awan perak berarak seragam. Tidak sia-sia mereka berlatih. Melintas harmoni seiring alunan bayu mesra. Awan hitam yang turut serta dalam perarakan berarak perlahan. Tetap tidak mahu ketinggalan mewarnakan langit.
Gerimis. Kini sudah menjadi rintik-rintik. Sempat menjentik rasa gusar di hati. Risau yang dia akan jatuh demam, dengan segera dia mandi. Dia tidak pasti sumber dan alasan saintifik apa sekiranya sudah terkena hujan, perlu segera mandi.
Dia kembali ke arena. Kain baju yang dicuci berkali-kali dibilas. Laluan air terakhir diwajibkan ke atas semua pakaian yang dicucinya. Kini bergerak ke ampaian. Setiap garisan ampaian dibilasnya juga. Ahhhh....ada tahi burung bentaknya apabila disedari ada mata kehairanan memerhatikan tingkahnya. Memang aku pelik. Teramat pelik kerana tiada kotoran yang terlihat di situ. Rupanya aku ditarbiah bab-bab kebersihan. Aku dididik sedemikian rupa walau aku tidak dipaksa melakukan sepertinya.
La, la, la, la, la....bergetar peti suara. Merayakan hari ini. Hm, hm, hm....sambil berharap agar hari-hari yang ditempuh dapat menangkis pintasan awan hitam. Pelukan doa tiada noktah. Sunyi, penuh bermakna. Doa dirungkai atas nama Tuhan yang mencipta awan. Noktah itu semakin menjelma.
Baca selanjutnya Kisahku...