
Langit dipandang. Tuhan disoal.
Oh Tuhan. Mengapa aku tak boleh terbang tinggi? Kenapa kau patahkan sayapku?
Sambil menyoal sambil melihat kawan-kawannya yang terbang. Melebarkan sayap. Menampakkan dada yang kembang. Kadang-kadang mengepak. Kadang-kadang diam. Meluncur bergaya bersama angin. Angin yang mematahkan sayapnya. Angin lintang yang menggagalkan penerbangannya. Lalu jatuh di timbunan kertas. Akan mati dalam kelaparan, dia mengagak.
Tak boleh terbang? Suara halus mencelah.
Ya. Aku mahu bersama kawan-kawanku, jawabnya tanpa menoleh. Aku tak boleh terbang lagi. Aku akan mati kelaparan di sini.
Mengapa begitu? Mengapa mati yang engkau sebut-sebutkan? Aku ada. Tak mungkin kau boleh mati, semakin manis bunyi suaranya.
Dia menoleh. Seekor ulat bercermin mata sedang senyum. Di sebelah tangan-tangan kirinya (mungkin kaki) memengang buku. Di sebelah tangan-tangan kanannya (mungkin kaki) memegang pensel. Sepuluh buah buku (mungkin lebih) dan sepuluh batang pensel (mungkin lebih) berada dalam genggaman tangan atau mungkin juga kakinya.
Kau lapar?, kau boleh makan aku.
Sambil menggeleng. Tak mungkin. Kalau aku makan kamu sekarang, kau takkan bercerita lagi. Aku mahu tahu segala isi buku cerita yang kau baca.
Dia duduk. Sambil membetulkan sayapnya. Menghadap sang ulat. Membelakangkan kawan-kawan yang sedang terbang. Dia tidak pedulikan kawan-kawannya lagi. Tekun dia mendengar cerita-cerita dari sang ulat.
Keputusan peperiksaan telah diumumkan. Dia berazam terbang lebih tinggi dari kawan-kawannya.
Baca selanjutnya Kisahku...