MUTIARA KATA HARI INI

Sunday, July 29, 2012

ALUNAN MELODI JANJI

Janji Di Tepati. Itulah temanya. Tiada logo khas. Hanya recycle. Tiada salahnya.

Aku masih menari berpusing-pusing. Pusing kanan. Pusing kiri sambil menatap akhbar. Ahhh....tiada cerita lain. Semua tentang pertelagahan pemimpin. Cakap dia sahaja yang betul. Orang lain salah.

Kucampak akhbar. Terapung ditarik graviti mentari. Melayang. Hangus. Terbakar. Hilang.

Kusumbatkan pembesar suara bersaiz telinga ke dalam telinga. Kedua-dua sudah kusumbatkan. Lagu beralun kupasang. Tenang dan melapangkan. Kubiarkan melodi itu menyeret aku ke alam lain. Alam yang jauh berlapis-lapis.

Sisa akhbar yang terbakar kuambil. Kuletakkan lidi dua batang. Bersilang. Buat layang-layang. Ada gambar Kapal Layar. Bahtera Merdeka Tunku. Mungkin. Ada juga gambar roket. Gambar Kulit Kerang. Tiada kelihatan Gambar Bulan. Kesemua layang-layang sungguh harmoni berlenggang di angkasa raya. Sesekali tali bersilang. Mencetus konfrontasi. Tali yang bersalut kaca!

Penat menari berpusing-pusing. Akhirnya kapal layar jatuh di padang ragut. Malang. Jatuhnya di longgokan berseni. Berputar-putar. Di atas tahi lembu!. Aku kembali ke Darjah 3!!

Lenaku diganggu. Dek kerana asyik menangkap buih-buih pelbagai saiz. Dari yang sangat kecil, kecil, besar dan sangat besar. Bergelembung bulat. Cantik berkilat. Kukurungi ia di dalam kotak bersegi "Post". Kotak kecil yang boleh memuatkan dunia realiti. Hari-hari yang mendatang, kesemuanya perlu dituruti dan difahami. Kerana ada disebaliknya, keabsurdan dalam realiti. Absurd sekali.

Baca selanjutnya Kisahku...

Friday, July 20, 2012

TENGAH HARI INI

POM! POM!! POM!!! ITU BUNYI MERCUN. INI BARU TENGAH HARI 1 RAMADAN

Baca selanjutnya Kisahku...

Monday, July 2, 2012

JULAI - Bulan Menggambar Semula.

Langit tidak pernah menyimpan rahsia. Apa yang nampak itulah juga yang mahu langit beri. Ketika itu langit sepertinya mahu memberi hujan. Ia kelihatan hitam. Berarak lalu. Aku membuang pandang menerusi jendela. Dalam kotak tempat berlindung. Yang sering disinggahi kucing-kucing kencing.

Julai datang lagi. Bulan menggambar semula. Peristiwa silam. Terasa segar bugar dipeluk utusan doa di celahan awan. Awan-awan perak berarak seragam. Tidak sia-sia mereka berlatih. Melintas harmoni seiring alunan bayu mesra. Awan hitam yang turut serta dalam perarakan berarak perlahan. Tetap tidak mahu ketinggalan mewarnakan langit.
Gerimis. Kini sudah menjadi rintik-rintik. Sempat menjentik rasa gusar di hati. Risau yang dia akan jatuh demam, dengan segera dia mandi. Dia tidak pasti sumber dan alasan saintifik apa sekiranya sudah terkena hujan, perlu segera mandi.
Dia kembali ke arena. Kain baju yang dicuci berkali-kali dibilas. Laluan air terakhir diwajibkan ke atas semua pakaian yang dicucinya. Kini bergerak ke ampaian. Setiap garisan ampaian dibilasnya juga. Ahhhh....ada tahi burung bentaknya apabila disedari ada mata kehairanan memerhatikan tingkahnya. Memang aku pelik. Teramat pelik kerana tiada kotoran yang terlihat di situ. Rupanya aku ditarbiah bab-bab kebersihan. Aku dididik sedemikian rupa walau aku tidak dipaksa melakukan sepertinya.
La, la, la, la, la....bergetar peti suara. Merayakan hari ini. Hm, hm, hm....sambil berharap agar hari-hari yang ditempuh dapat menangkis pintasan awan hitam. Pelukan doa tiada noktah. Sunyi, penuh bermakna. Doa dirungkai atas nama Tuhan yang mencipta awan. Noktah itu semakin menjelma.

Baca selanjutnya Kisahku...

Monday, May 21, 2012

JALAN PILIHAN

Lebuh sempit kuda penyepak, jalan licin tebing berkelok. Begitu sulitnya meneruskan kehidupan. Nafas terus dihela. Degup jantung terus dirasa. Terasa perkasa di ajar alami. Tidak sedar sebenarnya yang bahawa aku telah menulis banyak perkara. Tiada cela sedari mula aku merengek hingga kini mata kabur, kulit kendur, uban bertabur, gigi gugur dan menghampiri kubur. Apakah buku yang kunukilkan ini akan diserahkan dengan tangan yang kanan ketika ceremony penyerahan buku karangan sendiri nanti.

Hari ini bukan semalam. Sehari lagi umur meningkat. Masih terasa legit sakar. Semalam adalah hari yang penuh dengan sebab musabab yang mengundang kecewa. Hari ini bukan semalam. Ya. Kalau hari ini aku berjanji untuk menyudukan sup ke mulutmu, jangan kau kata esok, tetap akan kusuapkannya ke mulutmu. Aku tidak berjanji untuk itu. Terkadang aku terlepas kata. Hari ini 1 Rejab. Maha kasih Tuhan yang menciptakan alam, diberikanya aku pilihan. Aku masih berpeluang.
"Ihdinassiratalmustaqim". Tuhan binakan satu lebuhraya untuk kita dan sudah siapkan sekali bersama had lajunya, kawasan angin lintangnya, kawasan tanah runtuhnya, kawasan cerunnya, kawasan gajah lembu melintasnya. Dan berjuta lagi papan tanda biru, hijau, kuning telah Tuhan sediakan. Begitu kasihnya Tuhan. Apa kau suka? Lautan atau daratan? Pohonan atau tanah galian? Angin atau api? Kiri atau kanan? Utara atau selatan? Yang kau suka, kau pilihlah. Tetapi jangan sesekali abai papan tanda Tuhan. Ahlan wasahlan wamarhaban.....aluanku buatmu Rejab 1433 Hijriah yang mulia. Masihkah berkesempatan bagi kita mengimarahkan ramadan yang bakal tiba.

Baca selanjutnya Kisahku...

Wednesday, May 2, 2012

MAKHLUK HALUS

Makhluk halus. Jahatkah ia. Tidak dinafikan kejahatannya. Namun diperakukan juga kebaikannya. Sama juga pada manusia. Sempurna pada setiap penciptaan. Makhluk Allah yang baharu. Anakku diganggu oleh makhluk halus. Semester ini. Sibuk pula dia dengan berurusan dengan mereka. Diberinya ayam golek dan pulut kuning. Kerana dia membelanya. Makan dan minum secukupnya.

Kesiannya. Tiada masa cuti. Belajar mikrobiologi. ......uuuuuhhhh halusnya makhluk. Terpaksa dilihat dengan bantuan mikroskop! ....belajar rajin-rajin ye! Moga berjaya dengan cemerlang.

Baca selanjutnya Kisahku...

Monday, April 23, 2012

Mengingatkan Diri Sendiri

Aku kurang memahaminya. Maklum dah ketinggalan. Blogger.com dah ada gaya baru. Patutla kebanyakkan blog sudah berubah wajah.Salah aku jugak. Haiiihh. Bila aku rasa ok, aku tenang. Rileks. Tak peduli pada blog. Tidak endah pada perubahan semasa. Terlepas pada banyak perkara. Mengucapkan syukur pada tuhan, terkadang terlepas jua. Sembahyang. Tapi selalu terlepas maknanya. Aku salahkan syaitan. Tapi hakikatnya, salah aku juga. Hanya kembali berdoa pada tuhan bila rasa tak ok. Aku kembali berblog. Bertemu kawan-kawan maya. Agak jarang mengupdate. Tapi terasa ingin berkongsi sesuatu. Ahhh... Aku tinggalkan kerja yang sepatutnya dibereskan terlebih dahulu. Ini semua salah blog. Salah entri yang dikongsi. Salah komputer...... Salahkah mereka? Ermmmmm.....jangan bersikap suka menyalahkan orang lain... Salah diri sendiri, salah kamu humairi.

Baca selanjutnya Kisahku...
Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Saya ingin bersama-sama kalian dalam dunia siber ini. Saya juga mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya catatkan dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elakkan perkataan buruk, bersifat hasutan, atau fitnah. Jagalah akhlak kita sewaktu berbicara di blog ini. Terima kasih.

  © Blogger templates Inspiration by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP